Sorting by

×

Guna IC palsu, wanita Filipina dipenjara tiga bulan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 13 Jun – Seorang wanita warga Filipina dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini memilliki kad pengenalan palsu selama 21 tahun.

Elenita Maisoq, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal anak tiga didapati tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki kad pengenalan palsu menggunakan nama Nuria binti Rahman beralamat di Sungai Udang Melaka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka pada jam 3 petang, 9 Jun lalu.

Oleh itu tertuduh didapati bersalah di bawah peraturan 25 (1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Prosiding dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ahmad Amirul Ahmad Jamal dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, hasil semakan dari rekod nombor kad pengenalan atau MyKad tersebut merujuk kepada individu bernama Sapina.

Semakan JPN bagaimanapun tidak dapat membuat perbandingan cap jari berikutan pemilik sebenar nombor kad pengenalan tersebut tidak membuat permohonan kad pengenalan disebabkan taraf kewarganegaraan adalah bukan warganegara.

Tertuduh telah mengakui nama sebenarnya adalah Elenita Maisog berusia 50 tahun dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Reman suspek kes rogol 19 tahun lepas disambung tiga hari
Next post Polis tahan lelaki ceroboh, buat khianat di tanah perkuburan
Ubah saiz-+=