Hadiah istimewa untuk bayi merdeka di Melaka
AYER KEROH 16 Ogos – Sempena Hari Kebangsaan yang ke-65, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka bakal memberikan cenderahati istimewa kepada bayi yang lahir pada 31 Ogos tahun ini.
Pengarah JPN negeri Norazle Sulaiman berkata, hadiah istimewa tersebut akan diberikan kepada mana-mana bayi yang lahir pada tanggal keramat itu dan didaftarkan kelahiran di mana-mana pejabat JPN negeri dalam tempoh sehingga 16 September 2022 sahaja.
Katanya, bayi tersebut turut akan menerima cenderahati khas dari rakan strategik JPN negeri iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) negeri.
“Kita laksanakan inisiatif ini bagi meraikan bayi yang lahir pada tarikh negara kita mencapai kemerdekaan dan ia kita laksanakan saban tahun.
“Dan antara sebab lain, kita mahukan ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak dengan cepat dan tidak melengah untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang JPN Melaka 2022 #Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Wan Madihi Wan Salleh dan Timbalan Pengarah JPN negeri Masitah Mohamat.
Pada majlis ringkas yang bermula tepat jam 8.30 pagi itu dihadiri kira-kira 100 kakitangan dan turut diserahkan acara penyerahan baju rasmi 55 atlet mewakili JPN negeri ke Sukan Pendaftaran Malaysia (SUPMA) di Shah Alam pada minggu hadapan.
“Kesemua 55 atlet JPN negeri ini akan mengambil bahagian dalam acara badminton, bola jaring, bola tampar, ping pong dan sukan dalaman,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.