Sorting by

×

Makan Malam Merdeka erat silaturahim penduduk rumah pangsa

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 15 Ogos – Meskipun sekadar program makan malam, namun penganjuran itu dilihat menjadi platform penyatuan antara kaum sekali gus mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat.

Program Kejiranan Makan Malam Sempena Hari Kemerdekaan 2022 Rumah Pangsa Pantai Peringgit yang menghimpunkan hampir 200 penduduk nyata memberi impak besar memupuk perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, program itu dihadiri penduduk daripada pelbagai peringkat usia dan berbilang bangsa yang tinggal di rumah pangsa terbabit bagi bersama-sama menghayati erti kemerdekaan.

Beliau berkata, program anjuran persatuan penduduk itu nyata dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum sekali gus menzahirkan semangat patriotik kepada negara yang tercinta.

“Semua kaum tidak kira usia ada bagi menjayakan program, malah kita juga memberi penghormatan kepada orang lama yang sudah menetap di situ sejak sekian lama.

“Apabila semua berkumpul ia buka hanya dapat eratkan silaturahim malah kita bersama-sama dapat menghayati erti kemerdekaan dengan lebih mendalam bukan hanya dengan cara, melaungkan Merdeka sahaja,” katanya.

Program Kejiranan Makan Malam Sempena Hari Kemerdekaan 2022 Rumah Pangsa Pantai Peringgit dirasmikan Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Kalsom yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, pengisian program itu juga bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

“Selain makan malam, turut diadakan pertunjukkan pakaian bertemakan Hari Kemerdekaan oleh kanak-kanak dan pemberian sebuah basikal kepada penduduk bertuah.

“Meskipun penganjuran ini bukan julung kali diadakan tetapi dimaklumkan tahun ini cukup meriah dan saya berharap ia akan terus diadakan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3191
Kongsi :
Previous post Cat semula menara jam Banda Hilir dijangka siap November
Next post Hadiah istimewa untuk bayi merdeka di Melaka
Ubah saiz-+=