Hanya calon terbaik sarung uniform PDRM – KPN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 4 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan beberapa program ‘talent scout’ dalam memastikan pegawai dan anggota yang dilantik menyertai pasukan beruniform itu terdiri daripada calon terbaik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, menerusi program dijalankan itu ia dapat mengenal pasti individu yang berpotensi untuk diambil sebagai pegawai kanan ataupun anggota berpangkat rendah.

“Kita sudah buat kajian dan sebenarnya kita sudahpun ada program terbabit di peringkat awal, pertamanya untuk pegawai kanan iaitu Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) di universiti.

“Mereka merupakan calon yang kita rasa amat berpotensi untuk diambil sebagai pegawai kanan.

“Untuk pegawai anggota rendah pula kita ada program Kor Kadet Polis di sekolah. Sekiranya mereka layak untuk memohon penjawatan konstabel polis, mereka merupakan antara kelompok yang berpotensi untuk kita ambil sebagai anggota pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-72 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mencadangkan PDRM untuk menubuhkan satu pasukan pencari atau ‘talent scout’ dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota angensi keselamatan itu terdiri daripada calon terbaik di seluruh negara.

Terdahulu, Acryl Sani yang dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Tun Mohd Ali atas kesudian memberikan penghormatan itu.

“Saya mewakili warga PDRM mengucapkan penghargaan terima kasih kerana mengurniakan darjah kebesaran ini kepada saya dan empat lagi pegawai kanan.

“Ini adalah pengiktirafan kepada warga PDRM dan sekaligus memberi dorongan motivasi kepada semua dalam terus memberi khidmat terbaik buat masyarakat demi kesejateraan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1441
Kongsi :
Previous post Malaysia jana lebih RM33.9b potensi pulangan di Expo 2020 Dubai
Next post Melaka mahu bawa pulang khazanah sejarah di bumi Belanda
Ubah saiz-+=