Harga sayur kembali stabil hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDAR HILIR 28 Nov – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan harga sayur terutamanya yang diimport akan kembali stabil menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kenaikan harga yang berlaku kini disebabkan oleh beberapa faktor namun ianya kini berada dalam kawalan pihak terbabit.

Beliau berkata, namun begitu MAFI tidak mengesan berlaku kekurangan bekalan sama ada sayur import mahupun sayur tempatan.

“Kita mengesan kenaikan ini bermula pada Oktober lalu dan dijangkakan (harga) dapat distabilkan sehingga hujung tahun ini.

“Pada ketika ini kita dapati bahawa ada kenaikan di separuh tempat pemasaran tetapi secara keseluruhannya kenaikan ini sudah dapat dikawal khususnya sayur import seperti brokoli dan kubis bulat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Agroinvest Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 2021 yang turut dihadiri, Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

AHMAD (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Agroinvest Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 2021 yang turut dihadiri Haslina (kiri) dan Dr Mohamad Zabawi (kanan).

Sementara itu, Ahmad berkata, dalam menangani situasi ini kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam masa sama kita juga sentiasa membuat pemantauan harga dan mengadakan perbincangan bersama KPDNHEP dalam memastikan harga terkawal serta bekalan mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh ini rakyat disarankan memilih sayur tempatan berbanding sayur import.

“Ini adalah satu daripada matlamat utama kita, kalau boleh kita mempromosikan penggunaan barangan tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Lelaki rampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya ditahan
Next post Harga barang naik, peniaga berdepan rungutan pembeli – Kalsom
Ubah saiz-+=