Hari Malaysia: Perkenal kepelbagaian etnik Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 16 September – Sambutan Hari Malaysia pada tanggal 16 September setiap tahun menjadi medan memperkenalkan kepelbagaian etnik di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, istimewanya tahun ini, buat julung kali sambutan itu diadakan di luar Sabah dan Sarawak apabila Negeri Melaka dipilih sebagai tuan rumah.

Katanya, pemilihan Negeri Melaka sebagai tuan rumah adalah tepat memandangkan bumi bersejarah ini merupakan antara destinasi pelancongan terunggul negara.

Menurutnya usaha itu mampu menjadi nilai tambah dalam memperkasa sektor pelancongan negara dan pada masa memperkenalkan kepelbagaian etnik Malaysia.

“Saya amat terharu melihat sambutan orang ramai, ada yang awal datang ke sini seperti penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan ini.

“Selamat Hari Malaysia saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang sama-sama menikmati kemakmuran dalam negara kita.

“Kita yang akan menentukan hala tuju negara ini kearah lebih maju, lebih membangun dan lebih berbudaya seperti mana yang kita mahukan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Jelasnya, penganjuran Hari Malaysia berskala besar tahun ini juga dapat membawa limpahan manfaat buat rakyat khusunya dalam kalangan pemain industri pelancongan dan peniaga kecil.

“Ramai peniaga kecil memanfaatkan peluang ini menjana pendapatan. Penjaja cucur pisang, kraftangan dan sebagainya saya nampak boleh merebut peluang untuk tambah pendapatan.

“Ini pertama kali selepas COVID-19 kita dapat meraikan aktiviti fizikal, sama sama kita bersyukur dan terus menyokong apa aktiviti yang dianjurkan demi menjana pendapatan rakyat Malaysia,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1842
Kongsi :
Previous post Hari Malaysia: Aliran trafik ke Banda Hilir masih lancar
Next post Pesara tembak diri sendiri selepas tembak isteri
Ubah saiz-+=