
HARMONIKAN SEKOLAH, BENDUNG GEJALA BULI – KM
AYER KEROH 18 Ogos – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka disarankan supaya memperhalusi setiap inisiatif dan merangka langkah strategik lebih berkesan bagi menangani gejala buli di sekolah yang dilihat akan merosakkan kesejahteraan sosial serta masa depan generasi muda jika tidak dibendung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menegaskan gejala buli yang semakin membimbangkan bukan lagi isu terpencil sebaliknya disifatkan sebagai ancaman nyata.
Katanya, jabatan Pendidikan Negeri Melaka perlu membendung gejala buli hingga ke akar umbi dan mengambil iktibar kejadian menimpa Allahyarhamah Zara Qairina dan Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin serta semua mangsa lain sebelum ini.
“Kes buli berbentuk fizikal, lisan mahupun siber meninggalkan parut emosi mendalam, ia juga menjejaskan kestabilan mental dan mampu memadamkan keyakinan diri mangsa, khususnya dalam kalangan pelajar.
“Amat menyedihkan kerana sekolah sepatutnya menjadi ruang selamat bagi pelajar menimba ilmu bukan tempat menakutkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Jabatan Pendidikan negeri perlu melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi pencegahan awal, pendidikan nilai murni, penguatkuasaan disipin yang konsisten dan kerjasama erat semua pihak.
“Setakat tahun 2025, hanya satu kes buli direkodkan di Melaka. Jika semua pihak bersatu hati, suasana harmoni bebas buli mampu diwujudkan untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.