‘Hasrat Daddy mahu saya ceburi bidang sains, saya akan tunaikan’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

 

KRUBONG 11 Jun – “Arwah Daddy banyak mendorong saya meminati sains ketika hayatnya, dan dia memang mengharapkan saya untuk mendalami bidang itu.”

Demikian luahan Danisha Shaikh Mohd Noor, anak perempuan kepada pramugara Malaysia Airlines (MAS), Allahyarham Shaikh Mohd Noor Shaikh Mahmood yang terkorban dalam kejadian pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine tujuh tahun lalu.

Danisha yang memperolehi keputusan cemerlang 8A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diumumkan semalam, berhasrat meneruskan minat itu di menara gading.

“Meskipun Daddy sudah tidak ada, namun saya tetap mahu teruskan dalam bidang sains walaupun menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana saya paling diharapkan arwah untuk meneruskan cita-cita dalam bidang itu.

“Saya memang berangan untuk bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (‚ÄčNASA), tidak kisah apa-apa kerja janji dapat berkhidmat dalam agensi itu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) hari ini.

Berkongsi resepi kejayaannya, Danisha berkata, dia lebih gemar mengulang kaji pelajaran pada waktu malam hingga awal pagi.

Berikutan itu, akui anak kedua dari tiga adik-beradik ini, dia sering terlepas kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu kerana liat bangun pagi.

“Saya bukan individu yang ‘morning person’ sebab saya lebih suka mengulang kaji pelajaran pada waktu malam sampai awal pagi, jadi kalau terlepas kelas PdPR, saya sendiri akan usaha merujuk kepada guru untuk ‘catch-up’ balik mana yang tertinggal.

“Begitu juga ketika berada di asrama, saya akan mula menelaah pelajaran setiap malam sampai 3 hingga 4 pagi bersama rakan saya kerana suasana lebih tenang dan fokus,” katanya.

Sementara itu ibu Danisha, Umizah Muhamad Din berkata, dia bersyukur kerana anak perempuan tunggalnya memperolehi keputusan cemerlang dan sebagai ibu, dia tidak menghalang keinginan Danisha untuk meneruskan cita-citanya.

“Bagaimanapun, saya juga merujuk kepada guru sekolahnya yang lebih arif melihat perjalanan akademik Danisha kerana anak perempuan saya menetap di asrama sejak Tingkatan 1 hingga Tingkatan Lima.

“Sejak kecil, Danisha memang mengikut arwah ayahnya pergi ke kedai buku dan sampai sekarang setiap kali pulang ke rumah dari asrama, dia akan singgah ke kedai buku kerana dia memang ‘ulat buku’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post Polis rakam keterangan EXCO didakwa langgar SOP
Next post PKP 3.0 dilanjut dua minggu lagi sehingga 28 Jun
Ubah saiz-+=