Polis rakam keterangan EXCO didakwa langgar SOP

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Polis Melaka mengesahkan sudah mengambil keterangan berhubung laporan polis yang mengaitkan Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu selesai diambil kira-kira jam 1 tengah hari, semalam di Seri Negeri.

“Semalam, pihak polis sudah ke Seri Negeri dan kita mengambil keterangan beliau selama kira-kira 15 minit.

“Sekiranya masih ada lagi keperluan kita akan memanggilnya semula selain beberapa saksi lain juga sudah dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menerima lima laporan polis yang dibuat ke atas Mohd Rafiq membabitkan pelanggaran SOP ketika menganjurkan program pemberian ayam dan telur ayam percuma kepada komuniti di Bukit Rambai.

“Difahamkan mereka mendapat kebenaran penganjuran melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebelum ini kita telah memberi nasihat agar mereka mengikut SOP ditetapkan sepanjang PKP 3.0,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di laman Facebook mengaitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu melanggar SOP kita menganjurkan Program Kedai Prihatin Rakyat secara pandu lalu di Taman Rambai Jaya pada 7 Jun lalu.

Menerusi gambar yang tular, ia memperlihatkan terdapat ramai orang awam beratur untuk mendapatkan bekalan ayam segar dan telur ayam percuma secara pandu lalu.

Tindakan itu membuatkan ada segelintir pihak mempersoalkan bagaimana program rasmi boleh diadakan sepanjang tempoh ‘total lockdown’ yang dikuat kuasakan sejak 1 Jun lalu.

KERATAN laporan berita mengenai penganjuran Kedai Prihatin Rakyat yang dianjurkan di Taman rambai Jaya, baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Cadang KKM tambah PPV di luar bandar
Next post ‘Hasrat Daddy mahu saya ceburi bidang sains, saya akan tunaikan’
Ubah saiz-+=