Hentikan jadi batu api perpecahan UMNO – Pemuda UMNO Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Semua pihak terutama kepimpinan di semua peringkat UMNO perlu berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menjadi ‘batu api’ perpecahan dalam parti itu.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Fairul Nizam Roslan berkata pihaknya kini berpegang teguh dengan menghormati dan menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan parti menamakan poster boy Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu iaitu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka dan Datuk Seri Ab auf Yusoh sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ini.

Menurutnya, pihaknya yakin dan percaya model pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO kini bergerak dan membangun seperti yang dirancang dan dijanjikan dalam manifesto PRN lalu dalam suasana yang tertib dan harmoni.

“Pemuda UMNO negeri menyambut baik kenyataan penafian yang dibuat oleh Sulaiman ke atas kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin UMNO dalam negeri ini dan akan meneruskan agenda pemerkasaan parti.

“Adalah wajar para pemimpin UMNO bersikap lebih matang sekiranya sebarang pemasalahan dibawa berbincang bersama dan bukan dibawa ke media sosial,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya mengutuk sekerasnya ke atas perbuatan sesetengah pihak yang tidak bertanggunjawab yang merosakkan keharmonian UMNO dan kerajaan negeri yang merupakan ancaman yang perlu dihentikan segera.

“Pemuda UMNO negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang parti kepada pihak yang membuat dakwaan palsu serta melaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO Malaysia jika terdapat mana-mana kepimpinan atau ahli yang membuat dakwaan atau kenyataan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan negeri dan parti yang telah kita usahakan ini.

“Kita menyeru agar semua pihak terutamanya kepimpinan disemua peringkat perlu berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menjadi “batu api” perpecahan.

“Sebaliknya kita bersama-sama perlu menumpukan khidmat kepada rakyat dan negeri ini disamping mempersiap dan memperkemas gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan menjelang tiba,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka keluarkan dua notis susulan kenaikan harga makanan
Next post Agong berkenan serah kunci Rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah di Raub
Ubah saiz-+=