Hijrah minda ke arah lebih baik – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT PALAH 30 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta umat Islam di negeri ini menghayati pengajaran daripada kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini.

Kata beliau, pengajaran daripada kisah itu berupaya menyuntik semangat perjuangan dalam mengembalikan keagungan Islam dengan langkah penghijrahan minda dan perbuatan ke arah yang lebih baik.

Pada masa sama, beliau berkata, umat Islam juga perlulah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada semua tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama dalam menangani krisis sosial yang berlaku kini.

“Sebagai contoh, isu dadah dan rasuah, merupakan antara penyakit sosial yang masih tiada kesudahannya. Belum pun sempat negara keluar daripada masalah tersebut, datang pula masalah baharu seperti penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan secara terang-terangan dan seolah-olah disengajakan menggunakan platform media sosial.

“Sebab itulah tunjuk ajar nilai-nilai keagamaan perlu ditunjukkan agar mereka (golongan terlibat isu sosial) sedar tentang perbuatan yang tidak sepatutnya itu.

“Kita tidak boleh mengambil perkara ini sebagai hal yang remeh, kerana mereka juga berada dalam komuniti kita dan memerlukan bantuan yang khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H di Dataran Pusat Islam Masjid Al Azim di sini, hari ini.

Dalam majlis yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam itu, seramai 13 penerima diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh- Tokoh Maal Hijrah 1444H di negeri ini.

Sulaiman berkata, anugerah-anugerah itu diberikan kepada individu yang memberi sumbangan terhadap pembangunan Islam di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1304
Kongsi :
Previous post Mulakan hijrah dengan memelihara lidah
Next post Kebun kerang Melaka miliki potensi besar
Ubah saiz-+=