Mulakan hijrah dengan memelihara lidah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 30 Julai – Umat Islam harus memulakan tahun baharu 1 Muharam 1444 Hijrie dengan melakukan penghijrahan dengan memelihara lidah daripada pertuturan yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Penghijrahan dengan cara menjaga mulut daripada bertutur perkara yang tidak sejajar dengan kehendak agama harus dihindarkan bagi memastikan iman dan akhlak umat Islam terpelihara.

Perkara itu ditegaskan guru kelas takmir, Ustaz Jabbar Aliho ketika menyampaikan ceramah mengenai Maal Hijrah selepas solat Maghrib di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini malam tadi.

Ustaz Jabbar berkata, nikmat paling besar bagi umat ialah iman, Islam dan kesihatan yang memerlukan umat Islam sentiasa menjaga lidah kerana dengan lidah, seseorang melakukan dosa, selain memperoleh pahala.

“Iman seseorang rosak bermula dengan lidah dan jika kita ingin berhijrah daripada yang tidak baik kepada yang baik, maka kita harus bermula dengan menjaga lidah.

“Kita membaiki iman dengan menjaga kalam (pertuturan) kita kerana taqwa dan iman mempunyai kaitan yang amat rapat dengan pertuturan kita,” katanya.

Ceramah itu disampaikan selepas beliau membacakan doa awal tahun selepas solat Maghrib manakala sebelum solat berkenaan, jemaah mengaminkan doa akhir tahun yang dibacakannya.

Beliau berkata, jika umat Islam mampu memelihara mulut daripada bertutur perkara yang tidak benar atau yang mendatangkan dosa, Allah SWT akan mengubah seseorang daripada kurang baik kepada menjadi lebih baik.

Jabbar juga berkata, antara amalan yang harus dilakukan pada 10 Muharam atau dikenali dengan Hari Asyura ialah menunaikan solat sunat mutlak empat rakaat dengan membaca surah al-Ikhlas sebanyak 10 kali selepas surah al-Fatihah pada setiap rakaat.

“Kita disunatkan berpuasa pada hari itu dengan pahala 10,000 haji, 10,000 umrah dan 10,000 syahid.

“Amalan lain ialah bersedekah kerana satu dirham yang kita belanjakan, diberi ganjaran pahala 700 dirham,” katanya.

Selain itu, umat Islam juga disunatkan berbelanja lebih untuk anggota keluarga pada hari berkenaan dan Allah akan meluaskan rezeki mereka, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2065
Kongsi :
Previous post ‘Ditelan’ selut demi siput sedut
Next post Hijrah minda ke arah lebih baik – KM
Ubah saiz-+=