Sorting by

×

‘Ditelan’ selut demi siput sedut

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU – Nampak macam senang, tapi siapa sangka aktiviti mencari siput sedut memerlukan kudrat yang luar biasa bagi pencarinya.

Mana tidaknya, untuk mendapat hasil, seseorang itu terpaksa meredah lumpur dan selut di hutan paya bakau, selain berdepan gigitan nyamuk dan agas serta ancaman haiwan berbisa seperti ular.

Malah, habitat siput sedut yang terletak di Utara Melaka iaitu di Sungai Rembau-Linggi dalam Daerah Alor Gajah turut menjadi sarang ‘sang bedal’.

Menurut nelayan veteran Abu Hasan Sulaiman, 62, waktu terbaik memungut siput sedut ialah ketika pergerakan air pasang memandangkan siput-siput itu akan ‘berkumpul’ dan ‘memanjat’ celahan batang pokok menjadikannya lebih mudah dilihat dan senang diambil.

SIPUT akan memanjat ke pokok ketika air pasang. Foto Hasbullah Azhar

Meskipun begitu, ujarnya, kudrat kaki yang lebih kuat diperlukan kerana perlu mengharungi air dan selut tebal untuk masuk ke kawasan hutan yang lebih dalam.

Di sebalik kepayahan dan kesukaran yang dialami, bapa kepada lima anak itu mengakui aktiviti itu boleh menjadi pendapatan sampingan kepada nelayan sungai sepertinya.

“Kalau sewaktu air besar (bulan penuh) nelayan tak boleh turun menjaring malah nak memancing pun tak kena, jadi aktiviti memungut siput merupakan kaedah terbaik untuk menjana pendapatan lain.

“Bila cari siput maka hasil tu sentiasa ada, jadi sedikit sebanyak ia akan membantu menambah pendapatan saya sekeluarga,” katanya.

STAMINA yang tinggi diperlukan bagi pencari siput sedut.

Kebiasaannya dalam tempoh tiga jam sahaja, dia mampu memperoleh anggaran 30 hingga 100 kilogram (kg) siput sedut yang kemudiannya dijual pada harga RM10 hingga RM15 sekilogram mengikut saiz.

Jelasnya, siput sedut itu dijual dengan cara melakukan hebahan melalui aplikasi Whatsapp sebelum ditempah pelanggan.

“Siput sedut ini memang banyak permintaannya sehinggakan ada yang mahu tempahan harian sebanyak 30 kg sehari namun kita tak mampu nak sediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4493
Kongsi :
Previous post Penduduk Malaysia dianggar 32.7 juta pada 2022
Next post Mulakan hijrah dengan memelihara lidah
Ubah saiz-+=