
HIK@M2026 REKOD PENYERTAAN TERAMAI
AYER KEROH 6 Ogos – Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026) merekodkan penyertaan tertinggi dalam tempoh tiga tahun penganjurannya apabila menerima 370 penyertaan daripada keseluruhan kategori dipertandingkan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, buat pertama kali penganjuran HIK@M2026 turut membabitkan penyertaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) selain kategori sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), pendidik serta agensi kerajaaan.
Fairul Nizam berkata, peningkatan penyertaan itu menunjukkan usaha Kerajaan Negeri membudayakan inovasi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat terus mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Pada tahun pertama penganjuran kita menerima 120 penyertaan kemudian meningkat kepada 200 pada tahun kedua seterusnya tahun ini melonjak kepada 370 penyertaan.
“Daripada jumlah keseluruhan penyertaan diterima, 200 projek telah dipilih melalui proses kurasi untuk dipamerkan serta dinilai pada HIK@M2026. Saban tahun kita akan menambah baik pengisian dan untuk kategori PPKI kita akan teruskan pada penganjuran akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026) yang turut dihadiri Naib Presiden, Explorasi Pemasaran, Jaringan Dan Pengurusan Pelanggan MMU, Prof TS. Dr. Lau Siong Hoe, di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka di Bukit Beruang, hari ini.
Menurut Fairul Nizam, kejayaan beberapa sekolah luar bandar seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah muncul sebagai pemenang membuktikan potensi pelajar di kawasan berkenaan mampu diketengahkan apabila diberi pendedahan serta bimbingan sewajarnya.
“Kejayaan ini membuktikan kerjasama antara IPT di Melaka menerusi program sekolah angkat yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu telah memberi impak positif kepada pembangunan inovasi di sekolah.
“Pelajar bukan sahaja berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan idea kreatif malah semakin berani mengetengahkan inovasi mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Jelas beliau, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah HIK@M2027, dengan persiapan akan dimulakan pada awal tahun hadapan sebagai persediaan lebih baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


