Hikmah positif COVID-19, dua sahabat bertemu di PKRC selepas 20 tahun terpisah

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

 

AYER KEROH 24 Mei – Siapa sangka, kesakitan menjadi hikmah buat dua rakan baik yang terpisah sejak lebih 20 tahun lalu sebelum kedua-duanya bertemu di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Walaupun berada dalam situasi kedua-duanya dijangkiti COVID-19, namun pertemuan itu dianggap cukup bermakna buat seorang mekanik, Shikh Muhammad Makhdad Harun, 48.

Menceritakan detik pertemuan itu, dia yang dikenali sebagai Pak Ngah berkata, pada awalnya dia hanya ingin berkenalan dengan semua pesakit yang dimasukkan ke PKRC berkenaan.

Namun, ketika bertanya khabar seorang lelaki dari Merlimau yang baru sahaja dimasukkan, dia terkejut apabila mendapati lelaki berkenaan merupakan rakan baiknya yang pernah berkerja bersama di sebuah kilang di Batu Berendam sekitar tahun 1995.

“Mula-mula memang tak perasan sebab kami berdua pakai pelitup muka. Bila sudah rancak bersembang, tiba-tiba sahaja Pak Ngah rasa macam kenal dan bila lihat mukanya, barulah Pak Ngah sedar dia ialah Man (Noorazman), rakan sekerja yang sudah 20 tahun tidak berjumpa.

“Mana taknya, kami sempat berkerja bersama kira-kira setahun sebelum dia berpindah kerja dan menetap di Merlimau. Pada masa itu, tiada nombor telefon untuk Pak Ngah hubungi.

“Siapa sangka walaupun, diuji dengan COVID-19, kami dipertemukan di sini dan dapat mengimbau nostalgia lalu. Memang seronok sangat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

PAK Ngah (kanan) berbual dengan Noorazman yang bertemu di PKRC MITC, Melaka selepas 20 tahun terpisah.

Mengulas lanjut, Pak Ngah yang juga terkenal sebagai antara insan yang banyak menjalankan kerja-kerja amal di Melaka berkata, dia mula terkena jangkitan COVID-19 daripada surau berhampiran rumahnya di Taman Asean apabila ada jemaah disahkan positif COVID-19.

Rentetan daripada itu, dia bersama isteri dan anak sulungnya turut disahkan positif COVID-19 sebelum dimasukkan ke PKRC MITC semalam.

“Walaupun dikuarantin di tempat baharu, namun kesemua kami selesa berada di sini, cuma dewan ini sejuk sedikitlah. Tetapi dari segi lain-lain, terutama membabitkan membabitkan layanan dan makan-minum memang terbaik.

“Paling Pak Ngah bersyukur, di sini, kami boleh solat berjemaah rapat-rapat kerana semua yang ada di sini positif. Memang berbeza la dengan surau dan masjid yang memerlukan penjarakan satu meter,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang dijangka bebas kuarantin pada 28 Mei ini berjanji akan meneruskan program-program amal bagi membantu insan dalam kesusahan terutama dalam negeri ini.

“Semasa kuarantin, masih ramai yang memohon sumbangan kepada Pak Ngah. Bukan Pak Ngah tak mahu bantu, tetapi keadaan memaksa Pak Ngah berehat seketika.

“Tapi Pak Ngah janji untuk meneruskan program-program amal selepas bebas kuarantin dan disahkan bebas COVID-19 nanti,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post Dua maut, 14 cedera dalam kes tembakan di New Jersey
Next post ‘Jangan cuba sediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta’ – Polis
Ubah saiz-+=