‘Jangan cuba sediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta’ – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Polis Melaka memberi amaran kepada mana-mana pengusaha premis makanan di negeri ini supaya tidak menyediakan khidmat layanan ‘dine-in’ dalam kereta yang menjadi kesalahan di bawah Akta 342.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, tindakan sedemikian dilihat boleh membantutkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini.

“Walaupun belum ada kes sebegitu dilaporkan di Melaka, pihak polis akan terus melakukan pemantauan dan menasihati pengusaha kedai makan supaya tidak cuba-cuba meraih pelanggan sehingga ke tahap itu.

“Tindakan sedemikian jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

PEGAWAI Turus Ketenteraman Awam IPK Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat

Hari ini, Harian Metro melaporkan terdapat pengusaha premis makanan di Sarawak yang bertindak menyediakan layanan ‘dine-in’ di dalam kereta.

Inisiatif itu malah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail bagaimanapun dipetik berkata, menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan di dalam kenderaan mereka atau kenderaan yang disediakan oleh premis adalah tidak mematuhi SOP.

Setakat ini katanya, sebuah premis makanan di Miri telah dikompaun Jumaat lalu kerana menyediakan layanan sedemikian.

Bagaimanapun katanya, sekiranya pelanggan membeli secara bungkus dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post Hikmah positif COVID-19, dua sahabat bertemu di PKRC selepas 20 tahun terpisah
Next post Operasi, pemeriksaan harga berjalan seperti biasa
Ubah saiz-+=