Hoki Melaka sedia pertahan kejuaraan Piala Razak

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 3 Sept. – Skuad hoki Melaka bersedia mempertahankan kejuaraan Piala Razak yang akan berlangsung pada 18 hingga 26 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, sama seperti tahun lalu, Melaka akan menghantar dua pasukan terdiri daripada pasukan lelaki yang juga juara bertahan serta pasukan wanita.

Menurutnya, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka telah memilih senarai atlet hoki terbaik untuk menggalas tugas dalam kejohanan itu membabitkan gabungan pemain lama dan baharu.

“Melaka selaku juara bertahan untuk kejohanan ini sudah pastilah kita berharap dapat mengekalkan prestasi sama seperti tahun lepas. Paling tidak kita sasarkan separuh akhir untuk pasukan lelaki dan kedudukan lima terbaik untuk pasukan wanita.

“Kali ini kita bukan sahaja membariskan pemain-pemain lama, tetapi juga akan menambah kehadiran muka-muka baharu untuk memperkuatkan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Post Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah di Seri Negeri, baru-baru ini.

Untuk rekod tahun lalu, skuad hoki lelaki Melaka muncul juara Piala Razak selepas menewaskan Johor 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dalam aksi itu, Luqman Nurhakim Saiful, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Amirullah Zainol muncul senarai penjaring untuk membantu kemenangan Melaka.

Selain edisi 2019, Melaka turut muncul pemenang kejohanan sama pada edisi 2015.

Views:

663
Kongsi :
Previous post JPJ Melaka rekodkan RM294,805 kutipan saman
Next post Kewangan negara terkawal meskipun laksana rangsangan ekonomi pasca-Covid-19
Ubah saiz-+=