Hospital Alor Gajah tutup sementara kemasukan pesakit baharu

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Hospital Alor Gajah menutup sementara kemasukan pesakit baharu bagi menampung jumlah pesakit sedia ada di hospital tersebut.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata bagaimanapun Jabatan Kecemasan dan Trauma masih dibuka bagi kes-kes yang kritikal.

“Jabatan kecemasan masih buka bagi kes kritikal, tapi untuk kemasukan wad pesakit akan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak.

“Bagaimanapun bagi rawatan pesakit COVID-19 sedia ada akan diteruskan di Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RAHMAD Mariman. Foto – fail (MR. Azli).

Rahmad berkata setakat ini pengasingan bagi pesakit kes COVID-19 telahpun dibuat.

“Manakala rawatan pesakit yang bukan daripada kes COVID-19 masih diteruskan di blok yang berasingan,” katanya.

Sebelum ini MHI melaporkan sebanyak lima kematian dan 58 lagi dikesan positif dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan Hospital Alor Gajah membabitkan kluster baharu, Kluster Paya Datuk.

Bagi menangani penularan kluster berkenaan, pihak pengurusan Hospital Alor Gajah dan Jabatan kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah mengambil beberapa tindakan.

Menurut Rahmad, semua kes yang bukan COVID-19 dirujuk ke Hospital Melaka dan HAT di Kem Terendak.

Manakala bagi pesakit yang kes ringan serta bukan kecemasan digalakkan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Alor Gajah dan klinik berhampiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1789
Kongsi :
Previous post Polis bongkar pengedaran dadah guna kurier, rampas heroin bernilai RM108,000
Next post Tak dapat curi barang, bakar pejabat pos
Ubah saiz-+=