Tak dapat curi barang, bakar pejabat pos

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

JASIN 19 Julai – Berang kerana gagal mendapatkan barang berharga, seorang lelaki nekad membakar kerusi dan meja dalam Pejabat Pos Selandar, di sini semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun ditahan kurang lima jam selepas melakukan perbuatan itu pada jam 9.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengurus Pos Malaysia cawangan itu memaklumkan pejabat pos itu dipecah masuk selain terbakar di bahagian kaunter pejabat terbabit pada jam 11 malam.

Katanya, pengadu berusia 36 itu turut memaklumkan dia menerima isyarat penggera menerusi telefon sebelum melihat kelibat individu dalam pejabat itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Berikutan itu, pengadu meminta bantuan polis dan hasil pemeriksaan mendapati kerusi dan meja pejabat pos berkenaan terbakar sebelum menghubungi pasukan bomba untuk memadam kebakaran.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan pecah masuk menerusi cermin dan gril tingkap belakang yang diumpil selain terdapat kesan pagar dipotong di bahagian belakang bangunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sukri berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di sebuah rumah di pekan Selandar tiga jam selepas menerima laporan itu.

“Dalam penahanan itu, polis turut merampas pakaian serta peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk bangunan terbabit termasuk kuku kambing serta pemetik api.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku telah membakar kerusi dan meja kaunter perkhidmatan pejabat pos di situ kerana gagal mendapatkan barang berharga,” katanya.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek merupakan pesalah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan masih menjalani tempoh sekatan selama dua tahun bermula 24 September tahun lalu hingga 23 September 2022.

Jelasnya, semakan turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah dan tujuh rekod jenayah.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh bangunan.

“Sehubungan itu, pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post Hospital Alor Gajah tutup sementara kemasukan pesakit baharu
Next post Enam anak yatim piatu bakal dapat rumah baru
Ubah saiz-+=