Enam anak yatim piatu bakal dapat rumah baru

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

PANTAI KUNDOR 19 Julai – Enam beradik yatim piatu tidak sabar menanti kediaman baru disiapkan dalam tempoh 25 hari bagi menjalani kehidupan lebih selesa.

Nul Azizah Rosani Saman, 14, berkata, dia dan lima adiknya, Ahmad Baharom, 13, Azrul, 12, Khalid, 11, Maulidin, 8 dan Siti Khadijah, 6, teruja untuk merasai pengalaman tinggal di rumah baharu itu.

Katanya, kediaman sedia ada yang disewa bapa saudaranya, Jimmy Ladit, 47, di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling sudah uzur dan lantainya sering basah akibat bumbungnya bocor.

NOR AZMAN menyerahkan kit makanan kepada Azira di tapak pembinaan rumah enam anak yatim piatu di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling.

Dia dan adik-adiknya tinggal di rumah berkenaan bersama-sama ibu saudara mereka, Azira Hairon, 48, yang juga kakak tiri Jimmy yang tinggal di Sungai Udang.

“Kami tidak sabar untuk menghuni rumah baru yang lebih selesa dan kami harap ia mampu disiapkan,” katanya ketika ditemui di lokasi pembinaan rumah berkenaan di Kampung Tangga Batu Pekan, hari ini.

BACA JUGA:  ‘Kami amat memerlukan MyKid dan MyKad’

Keluarganya menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Mereka menjadi yatim piatu selepas kematian ibu dan bapa, Nila Nasir serta Rosani Saman Ladit masing-masing pada 2006 dan 3 Januari lalu.

Sejak itu, kebajikan mereka dan Azira yang berstatus orang kurang upaya (OKU), dibiayai oleh Jimmy, selain dibantu melalui sumbangan Nor Azman.

Nul Azizah berkata, dengan menghuni rumah yang selesa, dia dan adik-adiknya mampu mengulang kaji pelajaran dalam suasana lebih baik.

Katanya, kediaman baharu yang menyediakan tiga bilik membolehkan mereka sekeluarga menjalani kehidupan lebih teratur berbanding dua bilik rumah yang sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam beradik yatim piatu tak sabar nak bersekolah

Sementara itu, Nor Azman berkata, rumah berkenaan dibina atas inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor yang mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.

Lembaga Perumahan Melaka (LPM) ditugaskan kerajaan negeri untuk membina rumah berkeluasan 6 x 9 meter yang mengandungi tiga bilik dan satu bilik air dalam tempoh 25 hari melalui konsep pasang siap.

“Kerja pembinaan itu dimulakan Jumaat lalu dan dijangka siap dalam tempoh 25 hari jika cuaca baik,” katanya.

BERITA BERKAITAN: Enam beradik yatim piatu terima sijil kelahiran

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1274
Kongsi :
Previous post Tak dapat curi barang, bakar pejabat pos
Next post Empat Senator angkat sumpah Ahli Dewan Negara
Ubah saiz-+=