‘Kami amat memerlukan MyKid dan MyKad’

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 9 Jun – Tiada yang amat diharapkan enam anak yatim piatu, selain diberikan MyKid dan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri yang amat penting untuk mereka meneruskan kehidupan.

Itu harapan Nul Azizah Rosani Saman, 14, dan lima adiknya, Ahmad Baharom, 13, Azrul, 12, Khalid, 11, Maulidin, 8, dan Siti Khadijah, 6, dari Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling hari ini.

Nul Azizah yang menuntut di sebuah pusat tahfiz al-Quran di Sungai Udang, Tanjung Kling, dekat sini berkata, dia berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan permohonan bapa saudaranya, Jimmy Ladit, 47, dengan bantuan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri itu.

“Kami amat berharap dapat memiliki dokumen itu,” katanya ketika menerima kunjungan Nor Azman di rumahnya hari ini.

Mereka kehilangan bapa, Allahyarham Rosani Saman Ladit pada 3 Januari lalu, selain ibu tersayang, Allahyarhamah Nila Nasir pada 2016.

Sejak itu, kebajikan mereka dan ibu saudara berstatus orang kurang upaya (OKU), Azira Hairon, 48, yang tinggal bersama mereka di rumah sewa, dibiayai oleh Jimmy yang juga adik tiri Azira, selain dibantu melalui sumbangan Nor Azman.

Nor Azman menyampaikan sumbangan kepada Jimmy di kediaman enam anak yatim piatu di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling.
– Foto DIN AHMAD

Jimmy berkata, anak saudaranya menghadapi masalah mendapatkan MyKid dan MyKad kerana arwah Rosani yang berasal dari Kota Marudu, Sabah dan warganegara Malaysia berkahwin dengan Nila, rakyat Filipina.

Katanya, dia mencuba menjadi bapa angkat kepada anak yatim piatu itu bagi memenuhi syarat ditetapkan JPN tetapi menghadapi masalah mendapatkan sijil nikah dengan isteri, Sarimah Mohd Andang, 40, yang didaftarkan di Kota Marudu.

“Kami tidak dapat balik ke Sabah untuk menguruskan sijil nikah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang,” katanya.

Jimmy meminta sepupunya, Zulkifli Mohd Shah, 40, juga berasal dari Kota Marudu tetapi berkahwin dengan rakyat Melaka dan tinggal di Taman Merah Jaya, Tanjung Kling sebagai bapa angkat anak yatim piatu terbabit, katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau dan Jimmy mengemukakan permohonan dokumen pengenalan diri itu sejurus selepas kematian Rosani Saman dan kebajikan anak yatim piatu terbabit sentiasa diambil berat, termasuk pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, anak yatim piatu terbabit mempunyai sijil kelahiran bertaraf ‘Bukan
Warganegara/Belum Ditentukan’ kerana perkahwinan ibu bapa mereka yang tidak teratur.

“JPN harus memastikan mereka mempunyai sijil lahir yang sah, selain membantu menguruskan hal pengangkatan (bapa angkat) mereka yang akan dipertanggungjawabkan ke atas salah seorang bapa saudara mereka,” katanya.

Beliau berkata, urusan pengangkatan itu penting bagi memastikan mereka mempunyai penjaga berdaftar dan layak bagi memohon status warganegara Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Pemimpin politik menghadap Yang di-Pertuan Agong
Next post Petugas media lega terima suntikan vaksin COVID-19 hari ini
Ubah saiz-+=