Pemimpin politik menghadap Yang di-Pertuan Agong

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pemimpin parti-parti politik negara mula menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung selama sejam mulai jam 8 pagi.

Secara kebiasaannya, Muhyiddin selaku ketua kerajaan akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memasuki Istana Negara pada jam 10.40 pagi dan beredar sejam kemudian.

Semasa bercakap kepada pemberita yang menunggu di luar Istana Negara, Presiden PKR itu berkata sesi menghadap itu berkisar kepada perbincangan mengenai isu COVID-19, persidangan Parlimen serta kedudukan ekonomi negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menghadap Agong. Foto- Twitter Firdaus Azil.

“Pertama tentulah saya bawa mengenai pandangan kita (pembangkang) tentang COVID-19, soal ujian saringan yang rendah, soal jangkitan serta kematian dan saya terharu kerana Tuanku begitu arif tentang perkembangan-perkembangan semasa,” katanya.

Mengenai penamatan darurat, beliau berkata Seri Paduka meminta supaya semua pihak patuh kepada semangat Raja Berperlembagaan berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

Pada 11 Jan lalu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

Pada awal minggu ini, media melaporkan Seri Paduka dijadual menerima menghadap barisan pemimpin parti-parti politik negara bermula hari ini hingga minggu depan, termasuk menerusi persidangan video.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjadi pemimpin pembangkang kedua tiba di Istana Negara kira-kira jam 2 petang sebelum beredar pada jam 3.15 petang.

Lim ketika ditemui pemberita selepas itu berkata beliau mengutarakan pandangan partinya berhubung kes COVID-19 dan kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat pada sesi menghadap itu.

“Kita harapkan Tuanku yang merupakan harapan rakyat mendapat pembelaan khususnya dari segi bantuan ekonomi dan juga aspek vaksinasi yang harus disegerakan kepada rakyat,” katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu pula tiba kira-kira jam 3 petang dan meninggalkan Istana Negara sejam kemudian.

Selain mengajukan permasalahan rakyat ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, Mohamad berkata beliau turut menyuarakan mengenai keperluan persidangan Parlimen diadakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post PGA rampas syabu, pil kuda bernilai RM8.6 juta di Pasir Mas
Next post ‘Kami amat memerlukan MyKid dan MyKad’
Ubah saiz-+=