Hotel lima bintang tarik pelancong premium ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDAR MELAKA 22 Disember – Beberapa hotel lima bintang terkemuka negara bakal memulakan operasi di negeri ini pada tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengoperasian hotel lima bintang itu dijangka mampu menarik pelancong-pelancong berkelas premium berkunjung ke negeri ini.

Katanya, ia sekali gus bakal membawa pulangan besar dalam industri pelancongan negeri, memandangkan jenama-jenama besar perhotelan sebelum ini lebih cenderung beroperasi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Saya menunggu kehadiran pelancong berkelas premium untuk datang ke Melaka seperti yang datang dari China, Dubai mahupun negara-negara Arab lain untuk melancong ke negeri ini.

“Seperti sekarang, kita menerima kehadiran ramai pelacong yang berskala sederhana dan peringkat pertengahan, jadi jika kita dapat tarik pelancong berkelas premium ini akan menjadi satu daya tarikan baharu di Melaka.

“Setakat ini kita mendapati beberapa syarikat perhotelan lima bintang seperti Hotel JW Marriott, Sheraton telah bersedia untuk beroperasi di negeri ini dan mungkin dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang mereka akan memulakan perkhidmatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra dan High Tea bersama Penggiat Industri Korporat, Perhotelan dan Media Negeri Melaka di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Tpr. Datuk Murad Husin serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Timbalan Pengerusi PPSPM menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan khususnya di Melaka agar menjalin kerjasama strategik bersama perbadanan itu bagi merangka strategi pemasaran dan pengiklanan berkesan.

Beliau berkata, bot Melaka River Cruise yang dikelolakan PPSPM mempunyai nilai komersial tinggi dalam strategi pemasaran dan pengiklanan berikutan sambutan pelancong yang menggunakan perkhidmatan pelancongan itu di luar jangka pada setiap tahun.

“Jadi ini sudah pasti menjadi satu nilai tambah untuk mereka mengiklankan produk mereka di atas bot tersebut dan akan meberi satu daya tarukan baharu untuk daya penarik orang ramai beriadah di Melaka pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2623
Kongsi :
Previous post Semua PPS yang ditempatkan mangsa banjir digazet secara autmatik – Ahmad Zahid
Next post Tanah runtuh: Jumlah rasmi mangsa 92 selepas semakan semula, seorang masih belum ditemukan – Polis
Ubah saiz-+=