Hujan, cuaca sejuk melampau punca harga sayur naik – KPDNHEP Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 26 Nov – Hujan dan cuaca sejuk melampau menjadi antara faktor utama kenaikan harga sayur di Melaka dan seluruh negara, kata Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, kenaikan di Melaka juga berpunca daripada 80 peratus bekalan sayuran di negeri ini terpaksa diperoleh dari negeri lain seperti Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, katanya, bekalan sayuran import dari negara luar seperti brokoli, kobis, cili merah dan sawi juga kini berkurangan 60 peratus.

Beliau berkata, atas beberapa sebab itu, berlakunya kenaikan harga di peringkat pembekal.

“Isu kenaikan harga sayur-sayuran ini juga turut dibuat pemantauan di pasar, kedai runcit dan juga pasar raya seluruh negeri Melaka.

“Harga di pasaraya juga dapat dilihat ada berlaku kenaikan dan penurunan setiap hari namun tidak melibatkan semua jenis sayur.

“Bekalan sayur-sayuran bagi seluruh negeri Melaka buat masa ini adalah mencukupi dan tidak mengalami gangguan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Norena berkata, bagi mengesan punca-punca kenaikan harga itu, pemantauan dan siasatan lanjut sedang dijalankan di semua peringkat oleh penguatkuasa KPDNHEP Melaka.

Pada masa sama, pihaknya juga akan terus menjalankan pemantauan disetiap peringkat bagi memastikan bekalan sayur mencukupi pada harga yang berpatutan dan munasabah.

“Sehingga kini tiada lagi aduan diterima KPDNHEP Melaka berhubung kenaikan harga sayur di pasaran Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri ini, Norena berkata, hasil pemeriksaan mendapati kekurangan itu bertitik tolak daripada kegagalan beberapa pemborong dan peniaga runcit memperbaharui lesen mereka.

Hal itu, katanya, membuatkan proses pengedaran minyak masak peket ini terganggu.

“KPDNHEP Melaka akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang lesen minyak masak di negeri ini pada minggu hadapan bagi memastikan gangguan pengedaran ini dapat diselesaikan seterusnya pengguna dapat membeli minyak masak peket bersubsidi ini di pasaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

983
Kongsi :
Previous post Barisan Exco baharu lambang perpaduan Kerajaan Melaka – KM
Next post Istiadat lantikan Exco Kerajaan Negeri dimulakan
Ubah saiz-+=