Barisan Exco baharu lambang perpaduan Kerajaan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 26 Nov – Senarai barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) diumumkan pagi ini menyaksikan pemilihan gabungan muka lama dan baharu termasuk pertukaran portfolio.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata kesemua ahli majlis dari Barisan Nasional, MCA dan MIC itu melambangkan perpaduan dan kerjasama semua kaum di Melaka.

“Gabungan lama, berpengalaman dan baru daripada pelbagai latar belakang dan profesion inilah barisan terbaik untuk memajukan dan memakmurkan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Pelantikan Ahli MMKN Kerajaan Negeri di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu Sulaiman yakin kesemua barisan Exco yang dilantik mampu untuk menggalas tugas yang telah diamanahkan.

“Sudah tentu mereka mampu menggalas tanggungjawab dan menggerakkan usaha merealisasikan akur janji dan Manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ diumumkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu,” katanya.

Dalam senarai yang diperkenankan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam itu Exco Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama dipegang oleh Sulaiman.

Manakala, penyandang speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Ia diikuti lantikan semula dua bekas Exco iaitu Datuk Muhammad Jailani Khamis yang kekal menjawat Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, sementara Datuk Rahmad Mariman bertukar portfolio kepada Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

Antara muka baharu yang ditampilkan ialah Datuk Zaidi Attan yang dilantik Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar; Datuk Rais Yasin (Pendidikan dan Teknologi); Dr Muhamad Akmal Saleh (Kesihatan dan Antidadah) serta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Industri Asas Tani).

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin pula dilantik Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan; Ngwe Hee Sem (Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) serta V P Shanmugam (Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post Laluan ke penempatan Orang Asli Pos Yum ditutup akibat tanah runtuh
Next post Hujan, cuaca sejuk melampau punca harga sayur naik – KPDNHEP Melaka
Ubah saiz-+=