Laluan ke penempatan Orang Asli Pos Yum ditutup akibat tanah runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

IPOH 26 Nov – Jalan utama Pos Beswok menuju ke penempatan Orang Asli di Pos Yum, Kuala Kangsar ditutup untuk semua kenderaan akibat insiden tanah runtuh semalam.

Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Kangsar dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerosakan jalan itu melibatkan laluan sepanjang 60 meter dengan kedalaman cerun dianggarkan setinggi antara 10 hingga 15 meter.

“Jentera akan tiba di lokasi hari ini untuk membina jalan sementara bagi menghubungkan jalan terputus itu dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh sehari hingga dua hari. Notis penutupan jalan telah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan jangka panjang dengan membina semula cerun di lokasi berkenaan akan dilakukan berdasarkan kepada pemeriksaan forensik kegagalan cerun tersebut.

Beberapa gambar kejadian tanah runtuh tersebut tular menerusi laman Facebook dengan mendakwa sudah bertahun penduduk membuat aduan tentang keadaan jalan itu namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian sepenuhnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata laluan yang masih boleh digunakan adalah laluan A299 Seksyen 5.9 dan Seksyen 13 namun untuk kenderaan ringan sahaja.

“Kejadian tanah runtuh itu melibatkan tiga lokasi iaitu Jalan Beswok-Pos Yum (A300) di Seksyen 5.0, Seksyen 5.9 dan Jalan Bawong-Pos Legap-Kuala Mu (A299) di Seksyen 13.

“Bagi Jalan A300, Seksyen 5.0 adalah jalan sebelum Lata Penyel dan Seksyen 5.9 adalah jalan selepas Lata Penyel dengan kedua-dua seksyen ini adalah laluan ke Pos Yum,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Pelantikan Speaker baharu belum diputuskan
Next post Barisan Exco baharu lambang perpaduan Kerajaan Melaka – KM
Ubah saiz-+=