Ibu bapa anak istimewa diminta tampil daftar kad OKU
MERLIMAU 26 Januari – Jumlah orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Melaka masih lagi rendah kata Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin
Kalsom berkata berdasarkan rekod JKM, setakat ini seramai 25,000 individu memegang kad OKU di seluruh Negeri Melaka iaitu pertambahan seramai 1,000 orang berbanding 24,000 pada 2022.
“Meskipun ada kenaikan namun angka itu masih rendah, jadi saya harap lebih ramai ibu bapa dan waris OKU ini tampil ke JKM untuk daftar anak atau ahli keluarga mereka.
“Selain itu Kerajaan Negeri juga merancang untuk menambah beberapa lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) ketika ini berjumlah 17 buah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kenduri Rakyat Dan Sambutan Hari Lahir Mega 2022 PPDK Nur Shahirah, yang turut dihadiri Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik, di Klinik Kesihatan Merlimau, di sini, hari ini.
Katanya peranan dan faedah PPDK amat besar, bukan sahaja kepada ibu bapa dan waris sebaliknya peserta yang mengikuti pelbagai program yang dijalankan.
“Sesuai dengan perancangan menambah PPDK, jumlah tenaga pengajar juga akan ditingkatkan. Berpandukan nisbah, seorang tenaga pengajar akan mengawasi lima pelatih tetapi buat waktu ini kita belum mencapai nisbah itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.