IBU ENAM ANAK LEGA, MILIKI RUMAH SENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 5 Ogos – Impian Maszurah Husin @Bujal, 55, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila dia dipilih sebagai penerima bantuan Rumah Baiti Jannati hasil tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Maszurah berkata, walaupun dia dan suami ada menyimpan hasrat untuk membina rumah sendiri yang lebih selesa untuk didiami, namun faktor kewangan membataskan perancangan mereka.

“Pastinya saya bersyukur dan bertuah kerana rezeki untuk mendiami rumah sendiri akhirnya tercapai apabila menerima bantuan Rumah Baiti Jannati daripada TNB.

“Sebelum ini saya dan keluarga hanya tinggal menyewa sepanjang kira-kira 30 tahun dengan kadar bayaran sewa antara RM300 hingga RM400 sebulan.

“Bantuan ini amat bermakna dan memberi sinar baharu kepada kehidupan kami sekeluarga kerana selepas ini tidak perlu lagi untuk berpindah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu kepada enam anak itu ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Bukit Piatu, pada Selasa.

Terdahulu majlis penyerahan kediaman itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan lain-lain kenamaan.

Katanya, permohonan bagi mendapatkan sumbangan itu dihantar kepada TNB pada Mei lalu dan tidak menyangka ia diluluskan dalam tempoh sebulan dan diteruskan dengan kerja-kerja pembinaan rumah.

“Saya benar-benar tidak sangka semuanya dipermudahkan yang mana dalam tempoh sebulan sahaja saya dimaklumkan permohonan diluluskan dan kini rumah telah siap sepenuhnya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada TNB dan Kerajaan Negeri kerana merealisasikan impian kami untuk menghuni rumah sendiri,” katanya.a

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post WRUR: PAYA RUMPUT HARMONI, SEMUA KAUM DISANTUNI