Identiti dua pendaki wanita Gunung Suku sudah dikenal pasti
IPOH, 23 Mei – Identiti kedua-dua mayat pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, pada 15 Mei lepas sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata penemuan anggota tubuh badan pada 16 Mei merupakan milik See Su Yen yang berusia 32 tahun manakala mayat kedua yang ditemukan pada Sabtu lepas ialah Ng Yee Chew, 46.
Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, bagi mengenal pasti punca kematian kedua-dua mangsa berkenaan.
“Kedua-dua identiti mangsa itu sudah dikenal pasti, bedah siasat dijalankan pagi ini. Selepas keputusan (bedah siasat) keluar nanti kita akan kongsikan maklumat terkini.
“Mayat kedua-dua pendaki itu masih belum dituntut oleh keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 tahun 2022 di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.
Pada 16 Mei lepas, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan sebahagian dan cebisan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita berkenaan.
Kedua-dua wanita itu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, 15 Mei lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.