India minat jadikan Malaysia destinasi majlis perkahwinan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KANGAR, 22 Mei – India telah menyatakan minatnya untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan bagi mengadakan majlis perkahwinan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata penganjur majlis perkahwinan dari luar negara dapat melihat keunikan yang ada di negara ini, khususnya di Perlis yang kaya dengan alam semula jadi seperti pemandangan sawah padi.

“Sebagai contoh, ia (majlis perkahwinan) boleh dilakukan di kawasan sawah padi, air terjun ataupun di tempat pelancongan lain yang mampu menarik minat mereka ke sini,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Angin Timur2022@Hibrid bersama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Mengulas lanjut, Nancy berkata sebelum ini destinasi yang menjadi tumpuan aktiviti tersebut hanya di kawasan popular seperti di Genting Highlands, Pahang.

“Pada kali ini kita ingin bawa mereka ke tempat ekopelancongan bagi menganjurkan majlis perkahwinan, sekali gus menghayati keindahan alam semula jadi yang ada di negara ini, khasnya di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata selain berpotensi sebagai destinasi pelancongan, keunikan alam semula jadi yang terdapat di negeri itu sesuai dijadikan lokasi penggambaran filem luar negara khususnya dari India.

“Sejak tiga atau empat tahun ini, Perlis menjadi tumpuan penggambaran filem dan kita harap selepas ini terdapat lebih ramai lagi pengusaha filem dari luar negara berminat untuk jadikan negeri ini sebagai tempat pilihan mereka berkarya,” katanya.

Menurutnya kadar bayaran yang munasabah dikenakan oleh kerajaan negeri merupakan antara faktor negeri itu menjadi tumpuan penggiat filem sejak kebelakangan ini.

“Kita akan meminta bantuan daripada kerajaan pusat untuk mempromosikan negeri Perlis bagi tujuan penggambaran filem,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post KKM pantau ancaman virus cacar monyet
Next post Pemasuhan AP dapat hapus aktiviti kartel – Pakar ekonomi
Ubah saiz-+=