IPD MELAKA TENGAH BERPINDAH SECARA BERPERINGKAT
KESIDANG 11 September – Proses pemindahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke bangunan sementara di Wisma Amanah, Batu Berendam, di sini, dilaksanakan secara berperingkat.
Difahamkan, proses pemindahan belum dilakukan sepenuhnya dan masih pada peringkat untuk menyusun serta mengemas barangan termasuk dokumen.
Proses pemindahan sedang dibuat secara berperingkat oleh kakitangan IPD dan dijangka mengambil masa sehingga 19 September ini.
Dimaklumkan setiap bahagian sudah diberikan tarikh untuk pemindahan dan difahamkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) sudah berpindah masuk pada 9 September dan akan diikuti Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK).
Selain itu, Balai Polis Trafik Melaka Tengah masih beroperasi di bangunan IPD lama sehingga dimaklumkan kelak.
Melaka Hari Ini, sebelum ini melaporkan, lebih 800 anggota polis yang berkhidmat di IPD Melaka Tengah kini bakal mendiami sebuah bangunan sementara yang lebih selesa dan kondusif di Batu Berendam.
Ia merupakan antara usaha dan keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, selepas mengadakan lawatan keIPD Melaka Tengah di Banda Hilir yang telah berusia 100 tahun.
Warga IPD Melaka Tengah juga meluahkan rasa ketidakselesaan mereka bertugas di bangunan lama itu yang uzur dan tidak selama untuk dihuni.
Masalah lain dikongsi warga IPD Melaka Tengah termasuk fasiliti sedia ada juga tidak lengkap kemudian dibawa oleh Ab Rauf ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah lebih RM4 juta bagi pemindahan IPD ke bangunan sementara di Wisma Amanah, Batu Berendam, sementara menunggu pembinaan bangunan baharu IPD Melaka Tengah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.