Ismail, Noraini tak hadir terima pingat kerana jalani perintah kuarantin

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad yang dijadual mendahului menerima pingat kebesaran Negeri Melaka tidak hadir pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, di sini pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, kedua tokoh yang dijadual mendahului istiadat bagi menerima pingat terbabit tidak dapat menghadirkan diri disebabkan menjalani perintah kuarantin bagi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Istiadat sesi pertama itu menganugerahkan Ismail dan Noraini bagi menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang akan membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam upacara yang julung kali diadakan pada sesi pertama itu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril antara lima penerima DGSM telah menerima anugerah itu yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut menerima anugerah sama ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamed Farid Abu Hasan.

Darjah kebesaran yang dikurniakan sejak tahun 1983 diberikan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan cemerlang kepada Melaka serta mempunyai taraf kedudukan yang tinggi.

Views:

409
Kongsi :
Previous post Tujuh pembangunan terbaharu untuk kemajuan Melaka
Next post Melaka fokus promosi pelancongan berkonsep digital pasca COVID-19
Ubah saiz-+=