Melaka fokus promosi pelancongan berkonsep digital pasca COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Melaka kini memberi tumpuan penuh kepada promosi menggunakan platform digital bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu penting dalam usaha memulihkan kembali Melaka sebagai negeri pelancongan memandangkan sektor berkenaan menjadi antara yang teruk terkesan.

Jelasnya, bagi tujuan itu pihak kerajaan negeri giat menjalankan kempen terbaharu menggunakan sebuah platform digital yang diberi nama Melaka eXcess.

“Tagline baharu iaitu ‘Melaka safe haven’ dan ‘Melaka is the place to be’ telah diwujudkan bagi menggambarkan bahawa sebenarnya, Melaka adalah sebuah negeri yang selamat (safe) dan bersih (hygene) untuk dikunjungi sebagai destinasi percutian pilihan.

“Selain itu, promosi Melaka sebagai sebuah pusat percutian dan pelancongan menarik, telah diperhebatkan lagi melalui kempen ‘Dream Now Travel Later (DNTL)’ dengan menggunakan platform digital iaitu, “Melaka eXcess”,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia bersempena Sambutan Rasmi Hari Jadi ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat Januari hingga Jun 2020, Melaka telah merekodkan seramai 3.01 juta pelancong sahaja ke negeri ini ekoran penularan pandemik COVID-19 yang mula tersebar luas ke seluruh dunia sejak Februari lalu.

Jelasnya, disebabkan itu, pihak kerajaan negeri menetapkan sasaran 5.6 juta pelancong sahaja sepanjang tahun ini berbanding 18.73 juta yang direkodkan tahun lalu.

Sementara itu, Sulaiman Md Ali merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini yang terus menerus menempa kecemerlangan.

Menurutnya, selepas Bandaraya Melaka di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jasin (di bawah Majlis Perbandaran Jasin) tersenarai sebagai 10 Bandar Paling Bahagia 2019, kini kecemerlangan itu diteruskan oleh dua PBT di Melaka iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Jelasnya MPHTJ kini telah mecapai status Bandar Bahagia dan memperoleh status Bandar Paling Mampan di Malaysia, manakala MPAG bersama-sama MBMB telah menerima pengiktirafan antara lima PBT terbaik di Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG).

“Tahniah dan dan syabas kepada keempat-empat PBT ini, atas pencapaian yang membanggakan negeri Melaka,” katanya.

Views:

785
Kongsi :
Previous post Ismail, Noraini tak hadir terima pingat kerana jalani perintah kuarantin
Next post Melaka perlu agresif perkasa ekonomi
Ubah saiz-+=