Melaka perlu agresif perkasa ekonomi

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Kerajaan negeri perlu bertindak dengan lebih agresif bagi menarik peluang pelaburan baharu dalam dan luar negara meliputi pelbagai sektor di negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ia rentetan jangkaan Kadar Dalam Keluaran Negara Kasar (KDNK) Melaka bakal mencatat penyusutan yang selari dengan pertumbuhan KDNK negara disebabkan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu beliau berharap, kesemua sektor membabitkan industri pembuatan, komunikasi, pelancongan, pertanian, hartanah, pendidikan, kesihatan termasuk sektor penambakan laut di negeri ini diperkasa.

“Biarpun kerja penambakan laut telah mewujudkan kawasan tambahan seluas 15,000 ekar namun masih lagi terdapat banyak tanah kosong untuk dibangunkan dan memerlukan kerjasama dengan pemilik tanah.

” Pelaburan yang bakal dibawa masuk ini akan membawa manfaat meningkatkan ekonomi negeri, sekali gus membawa peluang kepada rakyat dengan pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya pada ucapan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, di sini pagi tadi.

Pada masa sama, Mohd Ali turut menasihatkan kerajaan negeri agar menekankan tumpuan kepada keseimbangan pembangunan masyarakat di luar bandar.

Beliau berharap tumpuan itu perlu dilaksanakan bagi memberi keseimbangan kepada pembangunan ekonomi penduduk di kawasan terbabit.

“Peluang ekonomi ini penting bagi mewujudkan keseimbangan serta mengurangkan kepadatan bandar melalui migrasi masyarakat,” katanya.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Melaka fokus promosi pelancongan berkonsep digital pasca COVID-19
Next post 190 individu terima anugerah kebesaran negeri hari ini
Ubah saiz-+=