
JAGA SENSITIVITI, TIADA TANAH PERKUBURAN DALAM KAWASAN PERUMAHAN
SERI NEGERI 29 April – Lokasi bagi tanah perkuburan disediakan pemaju projek perumahan baharu di negeri ini disyarakat mesti berada di luar kawasan penempatan berkenaan.
Langkah itu adalah bagi menjaga sensitiviti penganut agama tertentu selain memastikan perancangan pembangunan yang lebih kondusif.
Mengulas lanjut Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Melaka menetapkan kepada pemaju supaya menyediakan tapak tanah perkuburan fizikal seluas kira-kira satu hektar bagi setiap 5,000 penduduk keatas.
Jelas beliau langkah berkenaan bertujuan untuk mengatasi kekangan tapak perkuburan pada hadapan selain memastikan sistem pengurusan perkuburan lebih cekap.
“Menerusi Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkuburan Islam Negeri Melaka menetapkan bermula 2025 pemaju perlu menyediakan tanah perkuburan kira-kira satu hektar, tetapi tanah yang disediakan ini bukanlah berada di kawasan taman perumahan tersebut.
“Ini kerana kita faham akan sensitiviti kaum atau agama masing-masing,mungkin ada sesetengah penganut yang ada pantang, tanah perkuburan tidak boleh berada dalam kawasan perumahan.
“Contoh perancangan projek perumahan di Paya Rumput membabitkan pembangunan seluas kira-kira 202 hektar merangkumi 7,400 unit rumah, pihak pemaju telah menyerahkan tapak perkuburan 7.2 hektar terletak luar kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Rais, syarat ini akan dikenakan dan diperincikan semasa proses permohonan Kebenaran Merancang (KM) selain ia merupakan antara syarat kelulusan yang perlu dipatuhi oleh pemohon sebelum sesuatu cadangan pembangunan diluluskan oleh pihak berkuasa perancang tempatan.
“Apabila ada tapak perumahan baharu ingin dibangunkan perbincangan secara terperinci akan diadakan bersama pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia) ini supaya tidak menyusahkan pembeli serta pemaju,” katanya.
“Kita akan melihat lokasi yang sesuai untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


