
MELAKA BERJAYA SELESAIKAN MASALAH LIPUTAN LEMAH DI IPT
SERI NEGERI 29 April – Masalah liputan telekomunikasi lemah yang membelenggu beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini telah berjaya diselesaikan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, masalah itu diselesaikan menerusi pembinaan menara telekomunikasi baharu di bawah peruntukan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Jelas beliau, antara IPT yang sebelum ini dibelenggu masalah liputan lemah selama bertahun-tahun adalah Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, dan isu itu akhirnya diselesaikan apabila menara berkenaan sedang dalam pembinaan.
“Begitu juga di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang juga pembinaan menara sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Fairul Nizam, setakat ini, terdapat sebuah lagi IPT yang bakal diselesaikan masalah liputan lemah iaitu di UNIKL MICET Taboh Naning.
“Masalah ini baru disalurkan dan kita akan mengambil tindakan segera bagi memastikan isu liputan ini diselesaikan.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita tidak pernah menutup ruang untuk menyalurkan aduan, sebaliknya sentiasa terbuka supaya masalah liputan telekomunikasi dan internet ini diatasi sewajarnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


