Sorting by

×

MELAKA MOHON SEMAK SEMULA, TANGGUH CAJ PARKIR HOSPITAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memohon pertimbangan semula serta penangguhan pelaksanaan caj parkir berbayar di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, antara ikhtiar akan dijalankan adalah berhubung terus dengan Ketua Setiausaha (KSU) KKM bagi memohon pertimbangan semula kadar caj dikenakan syarikat konsesi termasuk melibatkan pelarasan tempoh masa serta menetapkan bayaran pada kadar lebih munasabah.

Katanya, sebelum ini KKM telah menyewakan tapak kepada pihak swasta (konsesi) untuk membangunkan parkir mekanikal bagi mengatasi isu kekurangan petak parkir di hospital berkenaan.

“Sebelum penswastaan 725 petak disediakan untuk kakitangan hospital, sementara itu baki iaitu 559 pula bagi kegunaan awam. Namun selepas penswastaan jumlah yang diperuntukan buat kakitangan adalah 1,010 manakala untuk awam pula sebanyak 656.

“Semakan semula perlu dibuat bagi memberikan keselesaan buat pesakit dan pelawat. Susulan itu cadangan untuk mengasingkan parkir kakitangan, pelawat dan pesakit juga akan diusulkan.

“Selepas penswastaan cadangan caj parkir adalah RM2 sejam, kadar itu menarik perhatian ramai termasuk tular di media sosial. Namun bagi orang kurang upaya (OKU) mereka dikecualikan bayaran, pesakit menghadiri temu janji dan mereka yang menjalani rawatan dialisis pula dikenakan caj RM5 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hee Sem berharap semua pihak agar bersabar kerana pelaksanaan parkir berbayar belum lagi berkuatkuasa dan hanya akan diteruskan selepas semua isu diselesaikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post MELAKA BERJAYA SELESAIKAN MASALAH LIPUTAN LEMAH DI IPT
Next post MAIM BANTU MASJID TAMBAH PENDAPATAN