
MAIM BANTU MASJID TAMBAH PENDAPATAN
SERI NEGERI 29 April – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memainkan peranan amat penting bagi membantu masjid di negeri ini menambah sumber pendapatan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu digerakkan menerusi tanah wakaf yang diamanahkan kepada pihak pengurusan masjid.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, antara sumber pendapatan masjid ketika ini adalah menerusi kutipan sewa tanah wakaf dan tapak bagi menara telekomunikasi.
“Selain itu, sekiranya masjid mempunyai sebarang cadangan pembangunan di atas tanah wakaf, pihak pengurusan boleh mendapatkan kebenaran bertulis daripada MAIM.
“Kebenaran ini penting bagi memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mematuhi peraturan berkuat kuasa, memelihara kepentingan wakaf serta mengelakkan sebarang isu pentadbiran atau perundangan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai usaha MAIM ke atas tanah wakaf yang diamanahkan kepada masjid pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Rahmad, sumber pendapatan masjid di negeri ini kebanyakannya bergantung kepada derma, kutipan tabung Jumaat, hasil wakaf dan sewaan, namun kadar sumbangan dan kutipan setiap masjid adalah tidak tetap.
Katanya, hasil pemerhatian Bahagian Pengurusan Masjid mendapati, rata-rata masjid di kawasan pinggir bandar mempunyai jumlah kutipan kurang RM50,000 setahun, manakala masjid di kawasan bandar mempunyai jumlah kutipan antara RM50,000 hingga RM100,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

