Sorting by

×

LEBIH RM300,000 DISALUR BAGI PEMBANGUNAN BELIA DUN LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 30 April – Sebanyak RM387,885 disalurkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu bagi penganjuran aktiviti berkaitan sukan, pembangunan belia dan baik pulih kemudahan berkaitan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata jumlah itu adalah peruntukan yang disalurkan Kerajaan Melaka dan agensi berkaitan ke DUN Lendu bagi tempoh 2023 hingga 2025 bertujuan memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara menyeluruh serta berimpak tinggi.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM62,625 diperuntukkan secara langsung ke DUN Lendu melalui Bahagian Khidmat Musaddah bagi pelaksanaan pelbagai program belia dan sukan.

“Peruntukan tersebut dimanfaatkan untuk menganjurkan klinik sukan seperti bola jaring dan bola sepak selain melaksanakan kerja-kerja baik pulih kemudahan sedia ada.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM50,000 pada tahun 2025 khusus bagi kerja-kerja menaik taraf serta baik pulih fasiliti sukan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-LENDU) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima ,Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Shanmugam berkata, daripada segi penganjuran program pula, jumlahnya menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak sembilan program dilaksanakan pada tahun 2023, diikuti 14 pada 2024 dan meningkat kepada 19 tahun lalu.

“Peningkatan jumlah program ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan belia terus aktif dan terlibat secara langsung dalam aktiviti sihat.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh inisiatif pembangunan belia dan sukan agar lebih ramai anak muda mendapat manfaat serta peluang untuk mengembangkan potensi diri,” Katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU MASJID TAMBAH PENDAPATAN
Next post SK MALIM JOHAN BAHAS BAHASA MELAYU ALA PARLIMEN