Sorting by

×

SK MALIM JOHAN BAHAS BAHASA MELAYU ALA PARLIMEN

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 30 April – Sekolah Kebangsaan (SK) Malim membuktikan kehebatan di pentas bahas apabila dinobat johan pada Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026.

Dibarisi lima pembahas cilik berbakat besar, SK Malim berjaya menambat hati juri pada pertandingan akhir yang berlangsung di SK Kemendor Jasin apabila menewaskan SK Batu Berendam 2.

Jurulatih Pasukan Bahas SK Malim Mohd Zulqarnain Abdol Rahman berkata, kemenangan itu membawa makna cukup besar kepada pihak sekolah kerana telah menanti selama dua tahun untuk mengecap kejayaan tersebut.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu, pihak sekolah bersama guru-guru dan murid telah menunjukkan semangat tinggi menerusi usaha gigih dan latihan berterusan sehingga akhirnya berjaya melakar satu detik bersejarah warga sekolah.

“Kemenangan ini juga menjadi simbol kebangkitan dan bukti bahawa SK Malim mampu berdiri gah sebagai sebuah institusi yang melahirkan pelajar berdaya fikir kritis, berani bersuara, dan berkeupayaan tinggi dalam seni pengucapan awam.

“Kejayaan ini juga membuka ruang yang lebih luas untuk menjadikan SK Malim sebagai sebuah Hub Kebitaraan Pengucapan Awam, yang bukan sahaja mencungkil bakat dalam kalangan murid sendiri, malah berpotensi menjadi pusat rujukan dan inspirasi kepada sekolah-sekolah lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 04 29 at 5.15.31 PM (1)
GURU dan pelajar SK Malim yang berjaya melakar sejarah untuk pihak sekolah.

Pada pertandingan itu, SK Malim membariskan lima pembahas iaitu Nur Alya Aqilah Zubir; Husna Nabilah Shafuan; Annawwar Faqeehah Mohd Fikri; Zarif Mohd Fairudzaki dan Muhammad Umar Faaeq Mohd Shahfuan.

Topik yang dibahaskan pada pertandingan akhir bertajuk ‘Pembelajaran Digital Remedi Murid Ponteng’.

Dalam pada itu, Mohd Zulqarnain turut menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan kepada langkah yang lebih besar dalam membina generasi pelapis yang petah berbicara, matang berfikir dan berani membawa suara kebenaran demi masa depan yang lebih gemilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post LEBIH RM300,000 DISALUR BAGI PEMBANGUNAN BELIA DUN LENDU
Next post TAMAN REKREASI MADANI RUANG RIADAH MESRA KOMUNITI