Sorting by

×

KAJIAN MENYELURUH TANGANI KESESAKAN PERSIMPANGAN JALAN KAMPUNG PANTAI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 28 April – Kajian menyeluruh akan dijalankan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menilai keperluan pemasangan lampu isyarat di Persimpangan Jalan Kampung Pantai, Kuala Linggi, Masjid Tanah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kajian itu dijalankan susulan kebimbangan berlaku kesesakan selain isu melibatkan keselamatan khususnya pada waktu puncak persekolahan.

“Bagi keperluan pemasangan lampu isyarat di Persimpangan Jalan Kampung Pantai, JKR Negeri akan melaksanakan kajian menyeluruh dalam tempoh dua bulan dan terdapat dua persimpangan yang berhampiran.

“Kajian itu dilakukan kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan konflik lalu lintas serta memberi impak terhadap corak aliran lalu lintas di jalan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai tindakan jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan di Persimpangan Jalan Kampung Pantai sekiranya pemasangan lampu isyarat mengambil masa lama pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Hameed, terdapat dua persimpangan yang berhampiran lokasi itu iaitu Persimpangan Air Molek (kira-kira 100 meter) dan Persimpangan Telok Gong di laluan Masjid Tanah–Kuala Linggi (FT138) yang terletak sekitar 300 meter dari kawasan terbabit.

“Sebagai langkah jangka pendek, JKR Negeri telah mengambil inisiatif menambah baik aspek keselamatan dengan membina ‘transverse bar’ serta memasang papan tanda amaran di kawasan berkenaan.

“Namun begitu pemantauan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan tambahan aspek keselamatan di kawasan sekolah khususnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post MASJID DI MELAKA DIGALAK LAKSANAKAN SKIM KHAIRAT KEMATIAN
Next post JAGA SENSITIVITI, TIADA TANAH PERKUBURAN DALAM KAWASAN PERUMAHAN