Sorting by

×

MASJID DI MELAKA DIGALAK LAKSANAKAN SKIM KHAIRAT KEMATIAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 29 April – Semua Jawatankuasa masjid di Melaka disyorkan supaya melaksanakan skim khairat kematian bagi melancarkan urusan pengebumian melibatkan umat Islam di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Kerajaan Negeri memahami bahawa bukan semua masjid mampu melaksanakan inisiatif itu berikutan kedudukan kewangan yang terhad.

Rahmad berkata, sebagai alternatif masjid kurang mampu dicadangkan supaya menubuhkan tabung khas bagi membolehkan inisiatif itu dilaksanakan di kariah masing-masing.

“Namun sudah banyak masjid di Melaka yang melaksanakan inisiatif ini sebagai satu bentuk bantuan kewangan kepada waris, seumpama konsep takaful bagi meringankan kos pengurusan jenazah.

“Khairat kematian ini bertujuan memberikan sumbangan wang atau bantuan kepada waris ahli yang meninggal dunia bagi mengurangkan beban kos pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai keperluan melaksanakan dasar yang membolehkan masjid menanggung kos pengkebumian anak kariah pada Persidangan Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati beberapa masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sudah mempunyai tabung khairat, termasuk Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah Duyong yang turut menawarkan pengurusan jenazah secara percuma.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong juga telah mengumumkan bantuan khairat kematian kepada semua warga DUN DUYONG menerusi masjid sebelum ini.

“Pelaksanaan khairat kematian oleh masjid lazimnya melibatkan penetapan kadar tertentu seperti yuran pendaftaran serta bayaran bulanan atau tahunan,” katanya.

Jelasnya, kadar yuran pendaftaran dikenakan adalah munasabah dengan kebanyakan masjid menetapkan sekitar RM5 hingga RM10 seorang, manakala ada juga menetapkan antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada jawatankuasa masjid.

“Bagaimanapun, bagi masjid mempunyai sumber kewangan kukuh dan stabil, pihak pengurusan turut menanggung kos pengurusan jenazah selain membantu mempermudahkan urusan ahli kariah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post ‘INI PENTAS DEMOKRASI, NEGERI INI BUKAN KITA PUNYA’
Next post KAJIAN MENYELURUH TANGANI KESESAKAN PERSIMPANGAN JALAN KAMPUNG PANTAI