Istana Pahang tarik gelaran Datuk Seri Nicky Liow

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUANTAN 26 April. – Istana Pahang membatalkan dan menarik semula Darjah Kebesaran Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada ahli perniagaan dalam buruan Liow Soon Hee atau Nicky Liow berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, turut dibatalkan ialah gelaran Datuk terhadap adik Nicky, Liow Wei Loon yang sebelum ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

“Penarikan semula anugerah darjah kebesaran dibuat bagi menjunjung perintah Sultan Pahang dan penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan.

“Penama perlu mengembalikan Darjah Kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-undang Darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sallehuddin berkata surat penarikan darjah kebesaran itu telah dihantar kepada penama terlibat Rabu lalu.

Pada 9 April lalu, Nicky dan adiknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, pendakwaan terhadap Nicky dibuat tanpa kehadirannya kerana dipercayai telah melarikan diri.

Nicky yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group kini berada dalam buruan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata nama lelaki itu akan disenarakan dalam individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

598
Kongsi :
Previous post Perkeliling kecualikan guru, pelajar bergejala hadir ke sekolah
Next post Polis terima dua laporan gurauan rogol pelajar
Ubah saiz-+=