Perkeliling kecualikan guru, pelajar bergejala hadir ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PUTRAJAYA 26 April. – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar pekeliling dikeluarkan bagi membenarkan guru serta pelajar bergejala untuk tidak hadir ke sekolah sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan itu dibuat susulan peningkatan kluster pendidikan sebanyak 83.3 peratus sejak 11 April hingga Sabtu lalu, dan ia telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

“Pekeliling perlu dikeluarkan kerana terdapat kebimbangan daripada guru-guru serta pelajar yang mereka akan dikenakan tindakan selain dilabel ponteng jika tidak hadir ke sekolah meskipun bergejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan hilang deria rasa,” katanya dalam sidang media mingguan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata guru-guru bergejala yang tidak hadir ke sekolah perlu memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan surat pengesahan bahawa guru itu bergejala akan dikeluarkan.

“Ujian saringan COVID-19 akan dijalankan terhadap mereka dan jika sah positif, laporan akan dibuat segera. Cuma kita ingatkan guru agar tidak salah guna perkara ini,” katanya.

Dr Adham berkata pelajar yang mempunyai gejala diminta untuk terus tidak hadir ke sekolah kerana Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mahu tercetusnya penularan COVID-19 sekiranya mereka hadir.

“Pelajar bergejala ini perlu diberi pelepasan atau cuti dan mereka ini akan dianggap tidak ponteng, namun harus berada di rumah masing-masing,” katanya.

Dr Adham memaklumkan sejak Januari hingga kini, sebanyak 23,779 pelajar berusia 12 tahun ke bawah disahkan positif COVID-19.

“Jumlah itu dilihat meningkat secara mendadak berbanding 8,369 kes membabitkan pelajar berusia 12 tahun ke bawah pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 dalam tempoh 1 Januari hingga 25 April lalu dilaporkan tiada kaitan epid (epid link) atau tidak diketahui punca.

“Ia membabitkan 170,173 kes dan ia sangat banyak. Kes sporadik ini sudah berada dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, tiga negeri yang mencatatkan kes sporadik tertinggi adalah Selangor dengan 65,215 kes; Kuala Lumpur (19,834) dan Johor (17,974).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post LTAT lancar aplikasi MyWIRA mudahkan urusan pencarum
Next post Istana Pahang tarik gelaran Datuk Seri Nicky Liow
Ubah saiz-+=