Isu perparitan punca banjir kilat perlu segera diselesaikan – Mahdzir

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KRUBONG 16 Nov – Kegagalan sistem perparitan yang menjadi punca kepada banjir kilat di beberapa lokasi di negeri ini perlu diselesaikan segera oleh pentadbiran pejabat daerah dan tanah masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya memandang serius permasalahan yang berlaku di negeri ini dan sistem perparitan yang sedia ada perlu dinaik taraf berikutan ia tidak mampu menampung kapasiti air yang meningkat.

Menurutnya kegagalan yang berlaku itu mengakibatkan salah satu lokasi seperti di Kampung Sungai Badau Krubong terjejas sehingga memberi kesan kepada 30 buah rumah setiap kali hujan lebat lebih dua jam.

“Kawasan perparitan ini sebenarnya bukan diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya berada di bawah pejabat daerah dan tanah dan kita telah melihat sendiri apa yang berlaku di sini.

“Jadi kita lihat di sepanjang kawasan perparitan ini boleh dinaiktaraf bagi menyelesaikan masalah banjir,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sistem perparitan di Kampung Sungai Badau di Krubong di sini, hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Rais Yasin.

Sementara itu, Rais berkata, mana-mana wakil rakyat yang akan memenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini perlu segera menyelesaikan masalah penduduk di negeri ini.

“Kita berterima kasih atas kesudian menteri turun untuk melihat masalah rakyat, ini merupakan aku janji saya yang pertama, jadi bukan kerana PRN tapi kerana menteri berada di sini, kita bawa beliau meninjau kawasan banjir kilat.

“Bukan sahaja isu banjir di kampung ini, malah ada juga jalan-jalan kampung yang perlu diperbaiki untuk memberi keselesaan kepada penduduk,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

639
Kongsi :
Previous post PN nafi beri tiket percuma aksi Melaka United-Sabah
Next post M-WEZ: Sulaiman mahu Melaka setaraf Singapura
Ubah saiz-+=