Sorting by

×

Isu Zoo Melaka sebab individu sakit hati – MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 15 Sept – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menafikan haiwan di Zoo Melaka terabai sehingga kurus-kering seperti yang didakwa seorang individu, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, perkara itu sama sekali tidak berasas memandangkan kebajikan haiwan di zoo berkenaan sentiasa dijaga dengan baik walaupun tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 dilaksanakan.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, gambar berkenaan adalah gambar lama zoo berkenaan yang dipercayai disebarkan individu bekas pekerja Zoo Melaka di era penswastaan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman. Foto fail – MR. Azli

“…ia gambar lama sewaktu diurus syarikat swasta sebelum ini.

“Pada waktu itu, kerajaan negeri memutuskan supaya MPHTJ mengambil alih Zoo Melaka memandangkan syarikat swasta itu tidak mampu menjaga zoo berkenaan dengan baik.

“Selepas pengambilalihan kira-kira dua tahun lalu, individu berkenaan cuba memohon kerja bersama zoo ini, namun kita tidak mampu mengambilnya bekerja kerana permintaan gaji terlalu tinggi yang mana kita tertakluk kepada kadar gaji ditetapkan.

“Mungkin disebabkan sakit hati, dia cuba menyebarkan berita tidak benar itu menerusi gambar-gambar lama,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, meskipun Zoo Melaka mengalami kekurangan dana sejak PKP, namun sumbangan makanan diterima daripada pelbagai pihak tidak pernah putus-putus.

Malah, ujarnya, orang ramai juga boleh melihat sendiri keadaan semasa haiwan menerusi program ZooToYou yang disiarkan secara langsung di Facebook Zoo Melaka setiap minggu.

“Semua boleh lihat…tiada haiwan yang terabai atau kurus, semua sihat-sihat belaka, malah banyak juga yang sudah beranak dan sedang bunting.

“Lagipun, kita juga mempunyai veterinar sendiri, jadi mustahil untuk pihak kami membiarkan haiwan terabai tanpa diet yang betul.

“Jadi, saya minta orang ramai agar tidak terpedaya dengan fitnah yang cuba disebarkan individu tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shadan turut menzahirkan harapan agar Zoo Melaka dapat kembali beroperasi apabila Melaka memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Tabika, taska, pusat jagaan harian dibenarkan beroperasi di negeri fasa 1 dan 2 PPN
Next post UNESCO iktiraf Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera Malaysia
Ubah saiz-+=