ITEX2023: UTeM rangkul Anugerah Khas, 5 pingat emas

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 Mei – Produk inovasi FIDORE ciptaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul Anugerah Khas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke-34 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr Massila Kamalrudin berkata, produk inovasi yang diperbuat daripada bahan semula jadi sejenis tumbuhan itu berfungsi sebagai panel dinding kalis api dalam sebuah bangunan.

“FIDORE merangkul ‘Best Green Invention Award’ dalam pameran ini, secara keseluruhannya semua produk inovasi UTeM yang dipertandingkan berjaya memenangi 10 pingat dan satu Anugerah Khas di ITEX 2023.

“Ini menggambarkan produk inovasi UTeM diiktiraf dan menjadi pilihan juri kerana keunikan dan fungsinya memberi impak langsung kepada kemaslahatan komuniti sejagat.

“UTeM memenangi lima pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa dan kemenangan ini menggambarkan kegigihan UTeM menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pameran berkenaan mendapat penyertaan 500 peserta yang merupakan pencipta inovasi daripada serata dunia yang menampilkan produk inovasi berimpak global.

Untuk rekod lima pingat emas dimenangi UTeM bagi produk inovasi ialah FIDORE yang diketuai Prof Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob; i-CETIKE diketuai Ir. Ts. Dr. Nik Mohd Zarifie Hashim dan Advance Portable Oil Spill Skimmer (AD-POSS) diketuai Prof Madya Ir. Dr. Lokman Abdullah.

Manakala dua produk lagi adalah Rapid Advance Future (RAF) Lightweight Prosthetic Leg diketuai Mohammad Rafi Omar dan Salutan Swa Sembuh (SeHCo) diketuai Ts. Dr. Mohd Fauzi Mamat.

Sementara itu empat pingat perak dimenangi menerusi produk Profit-WCO, Low Cost and Light Weight Composite Reinforced Plunger (LCRP) for Agriculture Industries, CEMiS -Online Customer Engagement Measurement Kit for Malaysian SME dan Hydro Quality Monitoring System (HydroQS) V1.

Diikuti satu pingat gangsa pula dimenangi menerusi produk inovasi Flash Flood Alert App (FLAOA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Tiada subsidi elektrik, bantuan kewangan haji kepada T20 – Anwar
Next post Kertas kerja ‘Cashless Melaka’ bakal dibentang
Ubah saiz-+=