Jadi sukarelawan MOVAK selepas anak maut akibat COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 23 Ogos – Seorang bapa yang berduka lara selepas kematian anak akibat COVID-19, nekad menjadi sukarelawan bagi membantu menyelamatkan nyawa insan lain.

Walaupun amat sedih menerima kenyataan anak kedua, Allahyarhamah Neti Anita, 43, dijemput Ilahi, Abdul Aziz Rashid, 68, tetap tabah dan bersemangat membantu program berkenaan.

Keletihan memandu van pekerja malam tadi tidak menghalang warga emas itu menjadi sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok Cina, dekat sini hari ini.

Dia berkata, arwah meninggal dunia akibat pandemik berkenaan pada 23 Julai lalu selepas dua hari dirawat di Hospital Melaka.

ABDUL AZIZ.

“Arwah memang menghidap penyakit jantung dan apabila diserang COVID-19, arwah tidak mampu bertahan lama, sebaliknya meninggal dunia hanya dalam tempoh tiga hari selepas diserang pandemik itu.

“Arwah ditidurkan pada 22 Julai lalu dan pada jam 4.15 pagi keesokannya, saya menerima panggilan daripada doktor bagi memaklumkan berita sedih itu,” katanya ketika ditemui di dewan berkenaan.

Dia berkata, arwah pergi meninggalkannya dan isteri keduanya, Rohayati Mohd Jan, 56, tanpa sebarang pesan sebagai menyusuli pemergian ibu kandungnya dan kakaknya sebelum itu.

“Arwah isteri pertama, Allahyarhamah Tawiyah Jantan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1999 sebelum diikuti anak sulung saya, Allahyarhamah Nor Aziah akibat barah rahim pada 2017.

“Sakarang saya tiada zuriat kerana perkahwinan dengan Rohayati tidak dikurniakan anak dan bagi mengubati duka lara di sanubari, saya gagahkan diri untuk membantu orang lain menerima vaksin,” katanya.

Abdul Aziz berkata, setiap kali mengambil bahagian dalam program itu, bukan setakat kesedihan yang bersarang dalam sanubari mampu diubati, malah menikmati kepuasan kerana berpeluang membantu sesama insan.

Katanya, dia berasa kehilangan arwah Neti Anita seakan-akan mimpi kerana arwah pergi buat selama-lamanya terlalu cepat.

“Saya tidak sangka tindakan arwah memohon maaf atas segala kesilapannya pada masa lalu semasa panggilan video yang dibuat oleh doktor sebelum arwah ditidurkan adalah yang terakhir,” katanya.

Dia berkata, segala kesilapan arwah sudah dimaafkannya dan berdoa agar pandemik COVID-19 segera berakhir serta tidak lagi meragut lebih banyak nyawa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post Lima bulan hanya berlauk telur
Next post 114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun
Ubah saiz-+=