Lima bulan hanya berlauk telur
DURIAN TUNGGAL 23 Ogos – Kematian suami, Mustafa Mat Isa akibat kanser tulang April lalu menjadikan kehidupan seorang ibu tunggal, Rokiah Abdullah bersama anaknya, Muhamad Rosyaidi berusia lapan tahun, berdepan kesukaran.
Sejak kehilangan tempat bergantung, dua beranak itu hanya mengalas perut dengan nasi berlaukkan telur selain mi segera sumbangan kit makanan sejak lima bulan lalu.
Kehabisan bekalan makanan telah memaksa Rokiah menunggang motosikal arwah suami bersama Rosyaidi yang kelaparan kerana seharian dia belum menjamah sebarang makanan.
“Saya beranikan diri menunggang motosikal dari rumah di Parit Melana sejauh tujuh kilometer untuk ke Japerun Durian Tunggal dan sebaik tiba di pintu masuk, motosikal kehabisan minyak, namun mujurlah saya disapa oleh Penyelaras DUN Durian Tunggal, Datuk Ismail Ibrahim yang ketika itu dalam kenderaan mahu pulang.
“Beliau minta saya ambil kit makanan daripada petugas Japerun tetapi kemudiannya datang menghampiri kami dengan menyerahkan wang tunai kepada Rosyaidi, seolah-olah mengetahui anak saya sedang kelaparan,” kata Rokiah dalam nada sebak ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Japerun Durian Tunggal, semalam.
Menurut Rokiah, atas permintaan Rosyaidi yang mahukan masakan udang untuk hidangan makan malam hari itu, dia segera ke kedai namun tidak disangka oleh dua beranak itu gas memasak di rumah pula kehabisan.
“Mujurlah wang sumbangan masih berbaki maka bolehlah saya beli gas memasak dan menyediakan masakan udang yang diidamkan oleh Rosyaidi, maklumlah dia hanya makan nasi lauk telur goreng sejak lima bulan lalu,” katanya.
Biarpun kanak-kanak itu bukan anak kandungnya, namun Rokiah sudah menganggap Rosyaidi sebahagian daripada kehidupannya yang tidak dipisahkan seperti hubungan ibu dan anak lain.
“Selepas kematian suami, hidup saya semakin sukar dan disebabkan itu ada yang minta saya serahkan Rosyaidi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi saya enggan dan tidak mungkin berpisah dengannya.
“Biarlah susah macam mana pun hidup saya sekarang, saya tidak akan menyerahkan Rosyaidi kepada sesiapa, walaupun dia cuma anak angkat,” katanya.
Sementara itu menurut Ismail, beliau menemui Rokiah dan anaknya pada lewat petang ketika wanita itu sedang menolak motosikal memasuki pekarangan Japerun.
“Kita dapati arwah suami Rokiah sebelum ini bekerja sebagai buruh dan ahli keluarga lain juga tidak berkemampuan membantu wanita itu.
“Selain tiada sumber pendapatan untuk menyara keluarga, Rokiah juga berdepan masalah untuk membayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan,” katanya.
Sehubungan itu, kata Ismail, pihaknya akan mendapatkan bantuan JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membantu Rokiah menjelaskan bayaran sewa rumah selain menyediakan barangan basah dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.