Sorting by

×

JADIKAN MELAKA NEGERI TERANCANG, GEMILANG

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

OSAKA, JEPUN 3 September – Semua pihak perlu berganding bahu dalam menjadikan Melaka sebuah negeri terancang dan mempunyai visi yang jelas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu penting dalam mengembalikan semula kegemilangan Melaka yang pernah gah sebagai sebuah pusat perdagangan terhebat suatu masa dahulu.

Beliau berkata, penyertaan Melaka dalam World Expo 2025 Osaka perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya dapat membawa pulangan yang baik kepada negeri dan rakyat pada masa akan datang.

“Apabila saya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, di samping memperkasa sektor pelancongan, saya juga menambah slogan baharu ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ bertujuan untuk kita mengimbau dan menghayati sejarah kegemilangan lalu.

“Saya mahu Melaka dapat kembali menjadi pusat perdagangan dunia dan katalis ekonomi dalam pelbagai bidang masa depan antaranya maritim dan teknologi tinggi.

“Jadi, saya mahu kita semua dapat memperkenalkan Melaka dengan lebih terancang, terpandu dan terarah supaya kita dapat membawa sebanyak mungkin pulangan untuk negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama YAB Ketua Menteri Bersempena Minggu Melaka pada World Expo 2025 Osaka, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, majlis itu meraikan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, di samping pelabur serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) terlibat terlibat menjayakan penganjuran Minggu Melaka di Osaka.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut menyampaikan cenderahati istimewa berupa dam aji kepada wakil Pavillion Malaysia World Expo 2025; wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Osaka serta wakil Tourism Malaysia di Jepun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post KAMPUNG ANGKAT MADANI BAWA SINAR BAHARU KEPADA WARGA FELDA
Next post ZIARAH KASIH AYER LIMAU SANTUNI 100 KELUARGA SEMPENA MAULIDUR RASUL